Sunday, February 10, 2008

Enteroskopi | Saiz menjadi penentu


Selepas hampir 20 tahun menunggu, rakyat Malaysia kini berpeluang menggunakan teknologi kapsul kamera untuk pemeriksaan salur penghadaman. Mula diilhamkan sekitar 1980-an, teknologi ini kini hadir dalam beberapa versi berbeza hasil keluaran negara berlainan seperti Isreal, China dan Jepun.

Syarikat produk perubatan tempatan Instrumatrix Technology Sdn. Bhd. (iNSTECH) telah memilih untuk membawa masuk teknologi kapsul kamera yang dibina melalui program teknologi tinggi ketenteraan China dengan kerjasama beberapa negara Kesatuan Eropah. Dinamakan Kapsul Endoskopi OMOM (Mesin Perubatan Optikal), kapsul ini dihasilkan dengan teknologi dari United Kingdom (UK) sementara perisiannya pula dihasilkan di Jerman.

Menjadi antara pilihan terbaru untuk kaedah diagnosis salur penghadaman manusia, teknologi ini juga selesa dan tidak memerlukan pesakit tinggal di hospital sepanjang pemeriksaan dijalankan. Dengan bantuan rakaman kamera, pesakit bebas untuk kembali ke tempat kerja atau meneruskan urusan harian dan kemudian kembali ke hospital untuk memuat turun imej rakaman untuk penilaian pakar gastroenterologi.

Setakat ini, lapan hospital telah memilih teknologi dari China ini untuk diagnosis pesakit, terutamanya bagi kes melibatkan usus kecil. Walaupun setiap pil yang digunakan kini menelan kos antara RM2,000 hingga RM3,500, kos ini dijangka dapat dikurangkan sehingga kurang daripada RM1,000 selepas beberapa tahun dengan lebih banyak penggunaannya untuk pesakit di seluruh negara.

Konsep pusat rujukan

Sebagai langkah memudahkan pihak hospital swasta menggunakan sistem ini, iNSTECH mula memperkenalkan konsep pusat rujukan yang hanya memerlukan pihak hospital membeli kapsul kamera untuk pesakit. Peralatan lain seperti perakam imej dan stesen kerja akan dipinjamkan sehingga pihak hospital membuat keputusan untuk membelinya.

Ini dapat menggalakkan penggunaan sistem berkenaan yang dijangka akan semakin menjadi pilihan orang ramai berikutan kaedahnya amat mudah dan tidak invasif. Selain itu, imej yang boleh disimpan dalam format Jpeg, Bmp, Avi atau Html akan memudahkan pakar gastroenterologi berkongsi pendapat atau mendapatkan pandangan kedua dengan segera.

Terdapat juga beberapa perancangan masa hadapan untuk memperkembangkan teknologi sistem kapsul kamera ini. Terbaru, pengeluar teknologi ini sedang mengusahakan sistem penyampaian ubat secara khusus pada tisu melalui sistem kapsul kamera berkenaan.

Bagi mengatasi masalah kapsul ini tidak dapat mengambil biopsi (contoh tisu), ujian sistem tambahan baru untuk pengambilan biopsi dan aplikasi laser untuk rawatan angiodisplasia serta polip juga telah dimulakan. Dengan pembangunan perisian perkakasan di dalam kapsul berkenaan, teknologi ini juga mungkin dapat ‘dipandu’ untuk mencari kedudukan masalah kesihatan dalam sistem penghadaman seperti pendarahan, ulser dan juga kanser pada masa hadapan.

Perakam Imej

Perakam imej yang digunakan tidak memerlukan sentuhan secara terus dengan kulit pesakit tetapi perlu dipakai sehingga pemeriksaan tamat. Bahagian perakam yang dihasilkan dalam bentuk jaket membolehkan pesakit memakainya ke mana sahaja dan meneruskan aktiviti harian atau kerja.

Imej daripada kapsul kamera boleh disaksikan secara langsung melalui alat mudah alih tanpa wayar atau dari stesen kerja tetapi memerlukan muat turun keseluruhan rakaman ke stesen kerja untuk membolehkan pakar gastroenterologi memainkan semula rakaman secara laju atau perlahan.

Alat mudah alih

Alat mudah alih tanpa wayar yang disediakan juga boleh berfungsi sebagai stesen kerja untuk pakar gastroenterologi memulakan, menghentikan atau membatalkan prosedur pemeriksaan serta menonton imej daripada kapsul kamera.

Prosedur pemeriksaan selama lapan jam boleh merakam sekitar 56,000 imej bersaiz 3.7 GB bagi setiap pesakit.

Kapsul kamera

Setiap kapsul kamera seberat enam gram ini hanya digunakan sekali sahaja serta boleh ditetapkan kepada satu frekuensi khusus dan tidak akan mengganggu frekuensi pesakit berhampiran yang turut menggunakan teknologi ini.

Setiap stesen kerja juga boleh mengawal atur sehingga 10 frekuensi (10 pesakit) pada satu-satu masa dan membolehkan ujian serentak dijalankan untuk ramai pesakit.

Setiap kapsul mempunyai satu kamera mini dengan enam lampu kecil yang boleh dikawal tahap keterangan cahayanya.

Kawalan cahaya ini juga boleh dilakukan ketika pemeriksaan sedang berjalan (selepas kapsul ditelan) menggunakan alat mudah alih tanpa wayar atau dari stesen kerja pakar gastroenterologi.

Penggunaan bateri kapsul kamera yang bertahan sehingga berjam-jam juga dapat dijimatkan dengan memadamkan sementara kapsul berkenaan jika ia tersangkut atau terlalu lambat untuk melepasi bahagian perut ke dalam usus kecil.

Buat masa ini terdapat tiga jenis kapsul OMOM iaitu untuk endoskopi, menguji pH dan untuk usus besar.

Kapsul untuk menguji pH boleh digunakan untuk masalah refulks asid perut sementara kapsul usus besar hanya berfungsi selepas memasuki usus kecil untuk menjimatkan tenaga bateri.

Kedua-dua jenis kapsul baru ini masih lagi dalam peringkat ujian tetapi tetap akan menggunakan sistem rakaman dan stesen kerja yang sama dan tidak memerlukan pihak hospital membeli perkakasan tambahan.

- Untuk maklumat lanjut mengenai kapsul kamera OMOM, sila hubungi Instrumatrix Technology Sdn. Bhd. melalui e-mel instech@streamyx.com, fax 03-31220679 atau melalui talian 03-31228295.

No comments: