Sunday, February 10, 2008

Bersama Dr. Pakar | Masalah pendengaran dan pernafasan

Bersama Dr. Pakar:DR. LOGANATHAN ATHANARI (Pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) Pusat Perubatan Kelana Jaya (KLMC).

Sinusitis kronik,

nafas berbunyi
DOKTOR,
Saya berusia 17 tahun. Sejak empat tahun lalu saya sering sakit di hadapan kepala terutamanya pada waktu cuaca sejuk seperti hujan dan di tempat berhawa dingin.

Pada waktu lain pula, tidak kira malam atau petang, bahagian ubun-ubun saya juga berasa sakit.

Saya tidak mempunyai luka atau lebam pada kepala saya tetapi sakit kepala ini turut membuatkan hidung saya berasa panas.

Saya lebih suka duduk apabila sakit kepala dan selepas lima minit saya akan bangun tetapi pandangan pula menjadi kabur sehingga berjalan terhuyung-hayang.

Saya juga sukar hendak bernafas ketika bercakap kerana nafas berbunyi seperti bersiul.

Saya seorang pendebat di sekolah, kerana kesukaran bernafas ini, perkataan yang saya tuturkan sukar difahami terutamanya dalam bahasa Inggeris.

Tahun hadapan pula saya akan menyertai PLKN. Apakah masalah saya ini?

– AURORA, Banting

Jawapan:

Sakit kepala di bahagian hadapan kepala selalunya dikaitkan dengan sinusitis. Masalah ini mungkin menjadi lebih serius di tempat yang berhabuk mahupun di tempat yang sangat sejuk.

Sinusitis juga boleh disebabkan oleh pembukaan rongga sinus tersumbat. Memandangkan sakit ini berterusan, ia mungkin sinusitis kronik (tidak diiringi dengan demam).

Simptom-simptom lain yang anda alami mungkin disebabkan oleh bengkak di rongga hidung atau pernafasan yang berpunca daripada kahak dari rongga sinus.

Kahak ini mungkin menitis keluar secara berterusan ke dalam rongga hidung dan ke belakang ke rongga pernafasan (larinks).

Ini boleh menyebabkan rintangan kepada udara ketika bernafas dan memberikan bunyi seperti bersiul.

Sakit kepala sebegini pula boleh juga disebabkan oleh gejala-gejala lain seperti migrain dan sebagainya.

Saya syorkan supaya anda berjumpa seorang pakar ENT supaya pemeriksaan endoskopi sinus dan diikuti dengan imbasan CT di bahagian kepala dan sinus boleh dilakukan untuk diagnosis yang tepat dan dirawat dengan sewajarnya.

Punca pendengaran terjejas
Doktor,
SAYA menghadapi masalah pendengaran. Pada masa tertentu pendengaran kurang jelas dengan sendirinya dan kemudian normal semula dengan sendiri.

Saya telah berjumpa doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk mendapatkan rawatan. Buat sementara waktu selepas itu pendengaran saya kembali normal.

Beberapa hari kemudian, masalah berkenaan berulang lagi. Doktor menyatakan masalah disebabkan oleh pengumpulan tahi telinga.

Saya sentiasa membersihkan telinga tetapi perkara ini tetap terjadi berulang kali dalam masa-masa tertentu.

Bagaimanakah caranya untuk mengatasi masalah pendengaran kurang jelas berulang kali ini?

– Yang kurang jelas

Jawapan:

Seseorang mendengar dengan menggunakan telinga. Gelombang bunyi sampai ke deria pendengaran (koklea) melalui cuping ke gegendang dan tiga tulang kecil di telinga tengah.

Di koklea, gelombang ini dikesan dan dihantarkan ke otak melalui saraf pendengaran sebelum gelombang ini diterjemahkan sebagai bunyi tertentu daripada pelbagai jenis bunyi yang pernah didengar.

Oleh kerana masalah anda berlaku berulang kali dan kemudian kembali normal, terdapat dua kemungkinan besar yang mungkin menjadi penyebab masalah ini.

Salah satu adalah tahi telinga yang keras telah menghindar gelombang bunyi daripada sampai ke gegendang dengan sepenuhnya.

Penggunaan putik kapas untuk mengorek telinga harus dielakkan kerana tahi telinga di bahagian luar saluran telinga boleh ditolak masuk ke bahagian dalam dan boleh mengurangkan tahap pendengaran.

Satu lagi sebab ialah jika seseorang kerap selesema, ia boleh membawa kepada pengumpulan bendalir di telinga tengah yang akan mengurangkan pergerakan gegendang dan seterusnya mengurangkan penerimaan gelombang bunyi.

Masalah kerosakan saraf pendengaran juga boleh menyebabkan masalah yang sama. Pemeriksaan klinikal dan ujian pendengaran harus dibuat pada masa anda mengalami masalah pendengaran berkenaan bagi membolehkan diagnosis dan rawatan yang tepat diberikan.

4 comments:

Bintu Mariza said...

1-Last month, I had through a very bad situation since my place had air pollution. Since then, i lost my sense of smell and taste, my ear drone and i feel headache only when I'm looking down. Breathing also become a hard task for me since my nose become stuffy. I need to breath using my mouth.
2- since i started breathing using my mouth, i coughed and my chest become pain. Just like my nose, I feel stuffy at my chest.

Please help me, since I go to hospital but the doctor give me another specific date to me her. But seriously, I can't stand the drone in my ear.

Unknown said...

Doktor
Hidung sebelah kanan saya tersumbat dan saya ada terbaca mengenai polip hidung yg mempunyai simptom yg sama dgn apa yg saya alami...adakah rawatan lain selain dari pembedahan untuk melegakannya

alai said...

Doktor, saya mengalami tinnitinus berdesing telinga kiri.. sebelum tu ,pd minggu lepas telinga kanan saya tersumbat earwax,tpi sekarang dah ok.. masalah nya, sudah seminggu telinga kiri saya berdesing.. saya tak selesa.

Mie79 said...

Doktor .. saya prnh mengidap penyakit npc dan telah buat kimoterapi pada tahun 2000. Sejak tahun 2010 , gigi saya sudah banyak yang rosak . Dan sekarang suara saya pula semakin sengau dan susah untuk bercakap seperti biasa . Apakah rawatan yang boleh dilakukan supaya saya boleh bercakap seperti sediakala ?