Sunday, February 10, 2008

Bersama Dr. Pakar | Masalah jiwa selepas bersalin

Bersama:PROF. MADYA DR. SHAH REZA (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM))

KEGEMBIRAAN sanubari ibu mungkin tergugat dengan kelahiran anak yang disayangi.

Ramai ibu baru mengalami perasaan tidak stabil tetapi kebanyakan rungutan ini tidak berkekalan dan masih dapat ditangani.

Ketidaksaksamaan perasaan hati selepas kelahiran dikategorikan pada tiga suasana;

1. Postpartum blues atau bersedih selepas kelahiran - lazim berlaku kepada ramai ibu- ibu baru.

2. Kemurungan, kepiluan selepas kelahiran (postpartum depression) - teruk sedikit dari kesedihan selepas bersalin.

3. Psikosis selepas kelahiran atau meroyan (postpartum psychosis) - masalah jiwa yang serius dialami sesetengah ibu selepas bersalin.

Penyakit jiwa di kalangan ibu-ibu baru ini selalu dilupakan serta diabaikan. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap tumbesaran serta kelakuan anak-anak kelak.

Penyakit jiwa ini boleh dirawat dan dalam kebanyakan kes, ibu-ibu berkenaan boleh kembali sembuh.

Kesedihan selepas bersalin

(postpartum blues)

Keluhan ini kerap berlaku pada ibu-ibu yang baru bersalin.

Masalah ini mungkin bermula sebaik sahaja kelahiran dan memuncak pada hari keempat ataupun kelima dan berterusan untuk beberapa hari berikutnya.

Kebiasaannya, masalah ini tidak berkekalan dan kembali normal dalam masa dua minggu.

Rungutan serta kesedihan ibu-ibu dengan masalah ini juga tidak mengganggu fungsi mereka sebagai seorang ibu.

Keluhan yang dialami turun naik, kadangkala menangis secara spontan dan juga rasa cemas serta ketakutan.

Kemurungan, kepiluan selepas kelahiran

(postpartum depression)

Kemurungan ini mengganggu keupayaan ibu dalam penjagaan anaknya.

Perasaan mereka pada bayi juga tidak menentu, sehinggakan mungkin mengalami penekanan jiwa yang boleh membawa kepada mencederakan bayi secara fizikal.

Ibu-ibu yang berisiko adalah mereka yang mempunyai sejarah kemurungan sebelum, semasa dan juga selepas mengandung.

Lazimnya kemurungan berlebihan selepas mengandung ini berlangsung secara perlahan-lahan sepanjang tempoh tiga bulan selepas kelahiran.

Kemurungan ini juga lebih teruk dari kesedihan postpartum blues.

Lazimnya keabnormalan ini datang secara mendadak (sekiranya dibandingkan dengan postpartum blues) dan lebih berkekalan serta banyak kerenah berbanding dengan postpartum blues.

Ibu-ibu ini mungkin menangis tanpa sebab, tidak mampu bergembira walaupun dengan kehadiran bayi, tidak boleh tidur, keletihan, kurang selera makan, dan mungkin mempunyai fikiran untuk membunuh diri.

Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai perasaan cemas yang keterlaluan terhadap kesihatan serta keselamatan bayi.

Paling membimbangkan adalah kemungkinan hadirnya perasaan negatif serta ingin mencederakan bayinya, menyebabkan kegagalan ibu dalam penjagaan anak serta dirinya sendiri.

Psikosis postpartum

Masalah ini merupakan peringkat sakit jiwa selepas bersalin yang paling parah serta teruk tetapi keadaan ini jarang berlaku.

Mereka yang berisiko adalah mereka yang mempunyai penyakit keresahan bipolar ataupun pernah mengalami psikosis postpartum selepas bersalin sebelum itu.

Psikosis ini juga datang secara mendadak, mungkin seawal 48 hingga 72 jam selepas kelahiran dan secara amnya berlaku sekitar masa dua minggu selepas kelahiran.

Penyakit ini lebih teruk dari segi rungutan si ibu berbanding dengan dua penyakit sebelum ini.

Ibu-ibu ini mungkin tiba-tiba mempunyai perasaan gembira serta bersedihan secara berulang-ulang.

Mereka juga mungkin mempunyai halusinasi penglihatan serta pendengaran yang boleh membahayakan nyawa ibu serta bayi yang baru dilahirkan.

Kadangkala ibu-ibu dengan masalah ini akan mempunyai delusi yang mengaitkan bayi dengan sesuatu yang tidak masuk akal, seperti bayi itu jelmaan syaitan dan sebagainya.

Ibu-ibu yang menghidapi penyakit ini boleh mengakibatkan kecederaan atau kematian bayi serta dirinya sendiri.

Mengenali masalah jiwa selepas bersalin

Pengamal serta penjaga kesihatan setempat perlu mempunyai pengamatan teliti terhadap mana-mana ibu-ibu baru di kawasan mereka semasa pemeriksaan susulan kesihatan sama ada ketika lawatan ke rumah ataupun di klinik-klinik.

Jangan menganggap kemurungan ataupun kesedihan ini sebagai implikasi kehadiran insan baru dan ditohmahkan sebagai insiden biasa semata-mata!

Walaupun syukur sekali ramai ibu pulih dalam jangka masa yang pendek, perlu diingat bahawa keabnormalan kelakuan serta pemikiran ini boleh kembali dan mungkin juga berterusan untuk setahun lamanya.

Memang sukar untuk kepastian pengenalan siapa yang mungkin akan mengalami keabnormalan jiwa ini.

Pengamal serta penjaga kesihatan perlu memantau ibu-ibu mengandung serta sejarah kesihatan lampau mereka.

Kadangkala, kelemahan sokongan daripada ahli keluarga juga boleh memebawa kepada penyakit kejiwaan ini.

Ketidakharmonian rumah tangga menjadi antara faktor penting yang perlu ditangani.

Keadaan-keadaan lain seperti kematian ahli keluarga terdekat, kesusahan kewangan dan juga akibat dari kehilangan upaya seperti kehilangan kerja mungkin meninggalkan kesan kepada ibu berkenaan.

Dengan kata lain, mana-mana acara kehidupan yang menzalimi kehidupan seorang ibu baru mampu mencetuskan penyakit kejiwaan ini.

Rawatan

Ibu-ibu ini perlu dirawat di hospital sementara penyakit-penyakit fizikal lain akan memerlukan ujian lanjut.

Darah akan diambil untuk melihat apa-apa kelainan yang mungkin berkaitan dengan masalah yang dihadapi.

Lazimnya doktor-doktor yang pakar dalam bidang psikiatri akan melibatkan diri dalam merawat ibu-ibu yang malang ini.

Sekiranya ubat-ubatan diberikan, doktor akan menasihati ibu-ibu ini mengenai kemungkinan kesan sampingan ubat yang digunakan pada kandungan susu badan dan akan menasihatkan mereka untuk tidak menyusu buat sementara waktu.

Ibu-ibu ini juga mungkin akan dirawat semasa mengandung lagi sekiranya mereka diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi dengan pemberian ubat antikemurungan dimulakan sebaik sahaja bayi dilahirkan.

Dalam pada itu, penyakit kejiwaan ini turut berkemungkinan akan mengganggu hubungan antara ibu dan anak.

Anak-anak daripada ibu yang mengalami keabnormalan serta penyakit kejiwaan ini berisiko untuk mengalami keabnormalan kelakuan serta perangai.

Kesukaran tidur, kurang selera makan, terlampau aktif, mempunyai ledakan kemarahan berapi secara tiba-tiba dan masalah dari segi pergaulan sosial menjadi contoh masalah yang mungkin dihadapi anak yang berkaitan dengan keadaan jiwa ibu.

Anak-anak ini juga mungkin sedikit lambat dari segi fungsi kognitif badan sementara emosi mereka juga mungkin berlainan daripada biasa dan juga kelainan dari segi sosial.

Insiden kemurungan di kalangan anak-anak ini juga berkemungkinan akan meningkat.

Akhir sekali, mereka yang terdekat seperti suami, mentua dan adik-beradik mampu mengenali masalah ibu-ibu baru ini melalui sebarang perubahan yang berlaku.

Sokongan-sokongan mereka yang rapat dengan pesakit juga dapat membantu mereka pulih daripada masalah jiwa selepas bersalin.

Bersama Dr. Pakar | Haid di kalangan wanita berbeza usia


Bersama:Dr. S. Silvam (Pakar Sakit Puan & Perbidanan, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC)
Belum datang haid
DOKTOR,
SAYA berumur 15 tahun dan mempunyai beberapa soalan yang ingin ditanyakan. Saya berasa risau kerana saya belum lagi datang haid sehingga kini.

Saya juga menghadapi masalah keputihan yang bermula sejak akhir umur saya enam tahun. Apakah ini merupakan masalah yang teruk atau sebaliknya?

Perlukah saya berjumpa dengan pakar atau adakah ini cuma sesuatu yang dipengaruhi oleh tubuh badan seseorang?

- Winawati, Perak.

Jawapan:

Wanita selalu memasuki alam remaja atau baligh dalam lingkungan umur sembilan hingga 16 tahun.

Mereka akan mengalami perubahan dari segi fizikal (pada bahagian buah dada dan kemaluan) disebabkan oleh perubahan hormon.

Dalam jangka waktu ini juga mereka akan mendapat haid pertama (menarche), selalunya dalam umur antara 12 ke 13 tahun.

Dalam kes saudari, masalah belum ada haid perlu dirujuk kepada pakar sakit puan.

Penelitian pakar sakit puan penting untuk memastikan perubahan fizikal (secondary sexual charaeteriatics) adalah mengikut masa dan organ wanita dalaman (internal & external genetelin) serta paras hormon adalah normal.

Bagi masalah keputihan pula, keputihan boleh berlaku kebanyakan masa disebabkan oleh jangkitan fungus (kulat).

Walaupun ia lebih banyak berlaku kepada wanita yang sudah berumah tangga atau sudah melakukan hubungan seks, ia masih boleh berlaku kepada anak gadis yang belum pernah melakukan hubungan seks.

Dengan rawatan dan nasihat doktor, keadaan ini adalah mudah untuk ditangani.

Haid tidak seimbang
Doktor,
Doktor, saya wanita bekerja pejabat, berumur 45 tahun dengan ketinggian lima kaki tiga inci (5'3") dan berat badan 56 kilogram.

Saya juga masih bujang (dara) tetapi mengalami masalah haid tidak datang sejak Julai 2007.

Sebelum itu juga, putaran haid saya datang dalam keadaan tidak sekata antara dua atau tiga bulan sekali.

Akan tetapi sebelum umur saya 40 tahun, kedatangan haid adalah mengikut jadual bulanan dengan teratur.

Untuk pengetahuan doktor, kesihatan diri saya adalah amat baik dan masih cergas dengan aktiviti harian seperti pergi kelas malam (tuisyen), berjoging selepas bangun pagi serta membuat kerja-kerja lain.

Saya cergas dan tidak letih walaupun saya jarang makan pemakanan tambahan seperti ubat EPO atau multi-vitamin.

Setelah menyemak kesan-kesan sampingan pra-menopaus seperti panas badan, letih, mudah tersinggung (moody) atau berdebar-debar itu pun tidak ada pada badan saya.

Soalan saya, mengapa terjadi begini? Untuk pengetahuan tuan doktor saya belum lagi berkesempatan berjumpa doktor perubatan.

-Fiz

Jawapan:

Masalah kesihatan Fiz telah diteliti dan didapati tahap kesihatan anda adalah memuaskan dalam aspek-aspek berikut, yang selalu berkait rapat dengan masalah haid.

Anda bukan seorang yang berlebihan berat badan atau ‘obes’.

Anda tidak pernah sakit serius atau melalui radioterapi atau pembedahan dan juga tidak mengalami tanda-tanda pra-menopaus atau menopaus.

Masalah haid boleh disebabkan oleh beberapa perubahan pada ovari (beg telur).

Ovari yang mengalami perubahan yang dinamakan ‘polycystic ovarian syndrome’ dimana telurnya tidak dikeluarkan setiap bulan (anovolution) boleh melambatkan atau menyebabkan haid kurang teratur.

Ovari juga boleh berubah dengan hadirnya sel-sel tumor yang boleh mengeluarkan hormon androgenik yang boleh melambatkan haid.

Satu lagi perkara yang penting ialah masalah tekanan jiwa yang kuat atau ‘stress’ yang berlebihan juga boleh melambatkan haid.

Saya mengesyorkan agar anda berjumpa dengan pakar sakit puan terlebih dahulu untuk pemeriksaan dan ujian lanjut untuk mengenal pasti punca masalah yang dihadapi.

Herba untuk fungsi seksual

“SAYA mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan mengambil ubat sejak lapan tahun yang lalu.

Dalam masa yang sama, saya dapati kemampuan dan keinginan seks juga semakin menurun. Apakah alternatif yang boleh diamalkan?”

JAWAPAN: Terdapat banyak faktor yang boleh menjejaskan kesihatan seksual misalnya peningkatan umur, penyakit, pengambilan alkohol yang berlebihan, diet yang tidak sihat, stres dan keletihan.

Apabila seseorang itu semakin berumur, banyak perubahan berlaku dalam badan yang mempengaruhi kemampuan dan keinginan seks.

Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan keras lalu menjejaskan pengaliran darah ke seluruh tubuh dan tidak terkecuali ke bahagian zakar.

Aliran darah yang terganggu pula boleh menjejaskan kualiti ereksi yang memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk mendapatkan ereksi sempurna.

Bagi individu yang mengambil ubat tekanan darah dalam jangka panjang, disfungsi erektil (ED) dan kurang atau keinginan seks rendah adalah kesan sampingan yang biasa.

Anda boleh mencuba herba horny goat weed.

Ia adalah sejenis rumpai air yang mempunyai kesan positif terhadap rangsangan saraf deria dan ia dianggap sebagai antara herba yang bersifat afrodisiak oleh masyarakat terdahulu.

Ginseng, puncture vine, muira puama dan withania juga membantu meningkatkan tenaga seks manakala damiana menambahkan kepekaan pada bahagian klitoris (yang mungkin bermanfaat untuk wanita) serta merangsang keinginan seks.

Gingko pula menggalakkan kesan oksida nitrik bagi membantu merehatkan dinding salur darah supaya aliran darah dapat ditingkatkan.

Kombinasi herba-herba ini dapat memperbaiki tenaga seks, meningkatkan prestasi seksual, tenaga batin dan mengurangkan kelesuan yang banyak dialami oleh masyarakat hari ini.

Amalkan diet dan gaya hidup yang sihat serta senaman yang berterusan (kira-kira 30 minit setiap hari).

Diet sihat yang mengandungi serat, sayur-sayuran, bijirin, kekacang dan buah-buahan akan membantu pengaliran darah ke organ-organ dalam badan, dan peningkatan aliran darah ke bahagian zakar boleh meningkatkan keinginan seks dan ereksi.

Gymnema & fenugreek membantu mengawal paras gula


“KEPUTUSAN ujian darah menunjukkan ibu saya mempunyai paras gula darah yang tinggi iaitu 124mg/dL, iaitu pada tahap pradiabetes.

Menurut doktor keadaan ini masih boleh dikawal dengan pemakanan dan gaya hidup yang lebih sihat.

Selain daripada ubat, adakah herba boleh membantu merendahkan paras gula darah?”

JAWAPAN: Pradiabetes merujuk kepada keadaan di mana paras gula darah adalah lebih tinggi daripada normal tetapi masih tidak cukup tinggi untuk diklasifikasikan sebagai diabetes.

Individu yang berada pada tahap pradiabetes selalunya tidak menunjukkan gejala-gejala diabetes yang jelas seperti sentiasa dahaga, kerap rasa lapar atau kerap membuang air kencing.

Akan tetapi, apabila ia tidak dikawal dengan baik, ia akan terus berkembang seterusnya mendorong kepada diabetes jenis kedua yang juga dikenali sebagai diabetes mellitus tidak bergantung kepada insulin (NIDD).

Insulin ialah hormon yang bertanggungjawab mengawal paras gula darah dalam julat yang sepatutnya.

Apabila badan tidak dapat menggunakan insulin secara berkesan, walaupun pengeluarannya oleh pankreas adalah mencukupi, ketidakseimbangan gula di dalam darah akan berlaku lalu menyumbang kepada diabetes.

Gymnema, fenugreek, holy basil dan Bitter melon (peria) adalah herba popular yang telah digunakan secara tradisional dan mendapat perhatian para pengkaji kerana keberkesanannya dalam membantu mengawal paras gula darah.

Gymnema membantu menjana semula sel beta di dalam pankreas dan meningkatkan penghasilan insulin.

Halba (fenugreek), herba yang digunakan secara meluas sebagai rempah masakan juga diperakui boleh mengawal paras gula dalam darah.

Bahan kimia yang terkandung dalam halba membantu proses penghadaman dan memperlahankan penyerapan gula ke dalam tubuh dan dengan itu mengawal atur paras gula darah.

Di samping itu, peria merendahkan penyerapan glukosa dalam saluran usus manakala holy basil meningkatkan penggunaan glukosa dan penghasilan insulin.

Gabungan herba ini didapati memberi kesan sinergistik.

Pada masa yang sama, perubahan diet dan gaya hidup tidak harus diabaikan malah ia harus menjadi keutamaan dalam mengawal masalah pradiabetes atau paras gula yang tidak seimbang ini.

Elakkan makanan yang tinggi dengan gula ringkas seperti roti dan nasi serta minuman manis atau berkarbonat.

Gantikan dengan makanan berserat tinggi seperti bran oat, nasi beras perang dan roti bijirin penuh.

- Orang ramai yang ingin mengemukakan soalan berkaitan penjagaan kesihatan secara semula jadi boleh menghantar e-mel ke kesihatan@biolife.com.my atau dengan menghubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE (Isnin-Jumaat, 9 pagi – 6 petang) di talian 03-77287407 (Semenanjung Malaysia), 082-241820 (Sarawak), 088-230148 (Sabah).

EPO untuk kecantikan kulit


“SAYA berumur 27 tahun. Saya mempunyai masalah kulit kering yang menyebabkan penampilan diri saya kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Keadaan ini menjejaskan aktiviti sosial kerana kurang keyakinan diri.

Bagaimana cara untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat dan berseri?”

JAWAPAN: Kekeringan kulit mungkin adalah iritasi (kerengsaan) yang disebabkan oleh kekurangan lembapan.

Keadaan ini dapat diperhatikan dengan tanda-tanda seperti kulit kasar, bersisik, hilang keanjalan, mudah mendapat keradangan serta garis-garis halus mudah kelihatan.

Ia bukanlah isu yang baru dan ramai di kalangan wanita berasa tidak selesa dengan keadaan kulit yang kering kerana ia menjejaskan penampilan dan keyakinan diri.

Banyak punca boleh membawa kepada masalah kulit kering tetapi faktor-faktor penyumbang yang paling umum adalah penyahhidratan dan bahan-bahan perengsa (termasuk produk penjagaan muka).

Penyahidratan boleh menyebabkan kulit menjadi kering apabila anda tidak minum air yang mencukupi atau mengambil makanan yang mengandungi gula atau kafein yang tinggi.

Berada dalam persekitaran berhawa dingin dalam tempoh yang lama serta pendedahan kepada bahan kimia juga boleh merengsakan kulit dan menyebabkan kekeringan selain daripada pengunaan sabun yang berlebihan atau pendedahan kepada cahaya matahari.

Untuk memperolehi kulit yang sihat, jangan abaikan faktor pemakanan.

Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar yang kaya dengan pelbagai nutrien untuk kesihatan kulit.

Minyak evening primrose (EPO) yang kaya dengan asid lemak omega-6 bermanfaat untuk memperolehi kulit yang cantik.

Kajian menunjukkan pengambilan EPO yang mengandungi asid gama-linolenik (GLA) boleh memperbaiki tekstur dan fungsi kulit seperti kelembapan, ketegangan dan daya tahan.

Dengan itu, ia mengurangkan kekeringan dan melicinkan permukaan kulit supaya nampak lebih sihat dan berseri.

Gunakan juga krim penapis cahaya (sekurang-kurangnya SPF 15) sebelum terdedah kepada cahaya matahari untuk melindungi kulit daripada sinaran UV yang berbahaya.

Jangan lupa untuk menyapu pelembab pagi dan malam untuk melembabkan kulit serta elakkan penggunaan sabun yang boleh merengsakan kulit, terutamanya bagi mereka yang berkulit sensitif.

Tidak semua buasir sama


HEMOROID atau lebih sinonim sebagai buasir di kalangan masyarakat tempatan merupakan keadaan bengkak dan inflamasi di pembuluh darah serta tisu di sekeliling bahagian anus (dubur) dan bahagian penghujung rektum (bahagian akhir usus besar).

Ia terjadi apabila pesakit meneran ketika membuang air besar atau berlakunya tekanan yang berterusan ke atas pembuluh-pembuluh darah di bahagian tersebut sewaktu pesakit mengandung.

Walaupun topik ini agak jarang dibincangkan, buasir merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh ramai orang.

Terdapat lebih kurang separuh daripada orang dewasa yang berumur sekitar 50-an mengalami rasa gatal-gatal, pendarahan dan kesakitan di bahagian anus yang merupakan tanda-tanda awal buasir akan berlaku.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kaedah dan pengubatan yang boleh merawat penyakit ini. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini hanya memerlukan penjagaan kebersihan diri dan beberapa perubahan dalam cara kehidupan terutaman dari segi pemakanan.

Jenis, tanda dan simptom berlakunya buasir bergantung pada kawasan sekitar anus di mana buasir itu terjadi.

Menurut Pakar Bedah, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Abd. Hamid Mat Sain, seseorang itu tidak boleh melihat atau berasa buasir bahagian dalaman tetapi apabila meneran sewaktu membuang air besar, permukaan buasir yang lembut akan tercedera dan mengakibatkannya berdarah.

‘‘Anda mungkin akan terlihat beberapa titik darah merah pada tisu tandas atau dalam mangkuk tandas. Disebabkan membran anus dalaman tidak mempunyai saraf fiber yang peka terhadap rasa sakit, pesakit jarang mengalami rasa tidak selesa atau kesakitan.

“Tetapi, anda mungkin mengalami rasa ‘penuh’ di dalam rektum selepas membuang air besar. Ada ketikanya, apabila meneran, ia akan menolak keluar buasir dalaman melalui pembukaan di anus. Jika buasir itu prolaps (atau terkeluar dari kedudukan asalnya), pesakit akan berasa sakit dan tidak selesa,” katanya.

Sementara itu, bagi pesakit yang mengalami buasir luaran pula, mereka akan mengalami rasa sakit.

Kadangkala, darah yang terkumpul di dalam buasir luaran ini akan membeku (trombus) dan mendatangkan rasa sakit yang keterlaluan, pembengkakan dan inflamasi.

Apabila iritasi berlaku, buasir luaran boleh mengakibatkan pesakit mengalami kegatalan atau perdarahan.

Punca-punca

Buasir boleh berlaku apabila terdapat sebarang tekanan yang berterusan di dalam pembuluh darah di bahagian bawah rektum.

Punca-punca tekanan berlaku adalah:

* Pesakit mengalami sembelit dan regangan yang berlaku sewaktu sembelit. Gejala ini boleh berlaku akibat tumor di bahagian rektum. Oleh itu, buasir dalam keadaan ini hanyalah masalah luaran sahaja sedangkan masalah asal ialah tumor di dalam rektum.

* Pesakit mengalami cirit-birit dan pengeluaran najis cair secara berterusan. Bagi mereka yang berpotensi untuk terjadi buasir, kerapkali merasakan gejala buasir ini sewaktu mengalami keracunan makanan yang menyebabkan cirit-birit selama beberapa hari.

* Pesakit berada dalam keadaan duduk atau berdiri dalam jangka masa yang lama. Contohnya, para penunggang motosikal jarak jauh, pemandu teksi, lori dan bas, pekerja pejabat dan juga, mereka yang harus berdiri lama di dalam pekerjaan seharian seperti guru dan sebagainya.

* Pesakit yang mengalami obesiti.

* Pesakit terpaksa mengangkat objek yang berat.

* Pesakit yang mengandung dan melahirkan anak.

Buasir juga boleh diwarisi. Namun begitu faktor-faktor yang tersebut di atas perlu wujud untuk terjadinya buasir.

Faktor keturunan hanya menjadikan seseorang itu lebih berpotensi untuk menghidapi buasir berbanding orang lain tetapi tidak bermakna mereka pasti akan menghidap buasir.

Ujian saringan

Dr. Abd. Hamid berkata, secara amnya, anda perlu berjumpa doktor sekiranya buasir yang dialami tidak pulih melalui penjagaan kebersihan diri, mengakibatkan rasa sakit atau berlaku pendarahan secara berlebihan.

“Tetapi sekiranya masalah berterusan walaupun telah mendapat rawatan awal dengan ubat-ubatan daripada doktor di klinik, maka pesakit haruslah mendapatkan rundingan pakar bedah.

“Tanda yang paling ketara seseorang itu mengalami buasir dalaman ialah berlakunya pendarahan di bahagian anus sewaktu membuang air besar.

“Namun, pendarahan rektal boleh berlaku atas sebab lain. Oleh itu, pesakit dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk memastikan ia tidak berpunca daripada sebarang penyakit yang lebih serius seperti kanser kolorektal,” ujar beliau.

Jika pada peringkat awal buasir terdapat perubahan yang ketara apabila anda membuang air besar atau jika najis berwarna hitam, merah pekat atau seakan tar, silalah berjumpa dengan doktor pakar dengan segera.

Warna najis yang sedemikian menunjukkan pendarahan telah berlaku di bahagian lain dalam salur pencernaan anda.

Anda juga dinasihat untuk mendapatkan penjagaan kecemasan sekiranya terlihat pendarahan yang banyak pada anus, rasa pening-pening atau pitam.

Doktor juga boleh menentukan jika anda mengalami buasir luaran hanya dengan melihat bahagian buasir itu.

“Untuk buasir dalaman, doktor mungkin ingin menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan jari yang bersarung getah atau Digital Rectal Examination (DRE). Tetapi, teknik pemeriksaan ini bukanlah muktamad kerana kadangkala buasir dalaman terlalu lembut untuk dikesan melalui pemeriksaan rektal.

“Dalam kes ini, doktor anda mungkin ingin memeriksa bahagian bawah kolon dan rektum dengan anaskop, protoskop atau sigmoidoskop,” jelas Dr. Abd. Hamid.

Tambah beliau, kadangkala, pemeriksaan yang lebih ekstensif termasuk pemeriksaan keseluruhan kolon dan rektum menggunakan kolonoskopi fiber optik yang anjal untuk mengesan pendarahan pada lesi di bahagian rektum atau mana bahagian kolon yang harus dilakukan.

Pesakit dinasihatkan untuk mendapat rawatan susulan jika berlaku pendarahan yang berterusan selepas sesuatu rawatan.

Rawatan

Dalam banyak kes rawatan buasir, terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan sendiri.

Tetapi, perlu diingatkan, ada waktunya, pengubatan atau prosedur pembedahan adalah perlu.

Jika buasir anda hanya mendatangkan rasa ketidakselesaan yang sedikit, doktor mungkin akan mencadangkan krim, ubat sapuan atau pad yang mengandungi agen antiradang.

Bahan seperti ini mengandungi steroid hidrokortison yang boleh dibeli di kaunter farmasi sebagai ubat OTC (over the counter) dan tidak memerlukan preskripsi.

Jika pesakit mengamalkan rawatan ini dengan mandian air panas, ia akan mengurangkan simptom-simptom buasir.

Jika terdapat darah beku di bahagian dalam buasir luaran, doktor akan membuang darah beku itu dengan melakukan insisi (pemotongan) ringkas yang akan melegakan rasa sakit yang dialami.

Prosedur ini biasanya akan dilakukan dengan menggunakan bius umum dan pesakit tidak akan berasa apa-apa kesakitan.

Selepas pembedahan ini dilakukan, sebagaimana pembedahan lain yang melibatkan kawasan luka pada anus, pesakit harus mencuci luka di dubur dengan kaedah mandian sitz, melibatkan rendaman dubur yang luka di dalam air suam yang dicampur larutan garam (salina) selama 15 hingga 20 minit setiap kali, 2 hingga 3 kali sehari.

Jika anda mengalami kesakitan atau perdarahan buasir yang kerap, doktor mungkin mencadangkan:

* Banding Haemorrhoids. Doktor akan meletakkan satu atau dua gelung getah di pangkal buasir dalaman untuk menyekat peredaran darah dan buasir itu akan terjatuh dalam jangka masa tertentu. Prosedur ringkas yang dikenali sebagai ligasi pita getah (rubber band ligation) boleh dilakukan di klinik doktor dan amat berkesan bagi ramai orang yang mengalami buasir peringkat 1 dan 2.

* Skleroterapi. Prosedur ini melibatkan satu larutan kimia yang disuntik di sekitar salur darah untuk mengecutkan buasir. Prosedur boleh mendatangkan komplikasi yang buruk seperti pendarahan dan jangkitan kuman di bahagian yang disuntik. Oleh sebab itu, prosedur ini amat jarang dipraktikkan oleh pakar bedah seluruh dunia.

* Lampu inframerah. Lampu inframerah yang dipancarkan selama 1 hingga 2 saat ke bahagian buasir boleh memotong peredaran darah dan mengecilkan bahagian buasir dalaman yang berdarah. Kaedah ini memerlukan penggunaan alat inframerah fotokoagulator yang berteknologi tinggi. Oleh kerana keberkesanan kaedah ini adalah sama dengan rubber banding, kaedah ini tidak begitu popular di kalangan pakar-pakar bedah.

* Pembedahan. Jika prosedur lain tidak berjaya atau jika anda mempunyai buasir yang besar, doktor pakar anda akan membuang tisu berkenaan dalam satu prosedur yang dikenali sebagai hemorhoidektomi. Pembedahan ini dilakukan sama ada dengan menggunakan bius setempat digabungkan dengan sedatif (ubat penenang), anestetik spina atau bius umum. Selalunya, ia dijalankan sebagai rawatan pesakit luar tetapi pesakit boleh bermalam di hospital jika perlu. pesakit juga boleh mendapatkan ubat jika berasa tidak selesa dan sakit selepas prosedur dijalankan. Salah satu cara melegakan rasa sakit ialah dengan kaedah mandi sitz (pesakit duduk dalam suatu tab mandi pinggul yang agak cetek). Selain itu, teknik pembedahan yang terkini seperti Stapled Haemorrhoidopexy mungkin akan mengurangkan rasa sakit yang dialami. Walau bagaimanapun, prosedur ini masih belum menjadi prosedur pembedahan yang menjadi kebiasaan untuk rawatan buasir teruk kerana keberkesanan keseluruhannya masih di dalam proses kajian.

Pencegahan

Untuk mencegah buasir atau flare-ups anda dinasihatkan supaya:

* Makan makanan berserat tinggi. Lebihkan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin di dalam diet pemakanan anda. Dengan berbuat demikian, ia akan melembutkan najis serta meningkatkan saiznya di mana ia akan mengurangkan kebarangkalian pesakit untuk meneran yang akan mengakibatkan buasir.

* Minum air yang banyak. Jumlah air yang anda patut minum setiap hari berbeza dan bergantung kepada faktor umur, jantina, kesihatan, tahap aktiviti dan faktor-faktor lain.

* Ambil makanan tambahan yang berserat. Produk yang boleh didapati di kaunter farmasi seperti Metamucil dan Citrucel akan membantu anda membuang najis yang lembut dan secara lebih kerap. Rujuk kepada doktor anda tentang penggunaan ubat yang boleh melembutkan najis.

Jika anda mengambil makanan tambahan berserat, pastikan anda minum sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air setiap hari. Jika tidak, ia akan mengakibatkan sembelit atau menjadikan buasir lebih teruk. Tambahkan pengambilan serat tambahan ke dalam diet anda secara perlahan-lahan untuk mengelakkan sebarang masalah dengan gas (angin).

* Melakukan aktiviti fizikal. Aktifkan diri anda dengan mengurangkan tekanan pada vena (pembuluh darah), yang akan terjadi apabila anda berdiri atau duduk terlalu lama. Selain mengelakkan sembelit, dengan melakukan latihan, anda juga boleh mengurangkan berat badan yang berlebihan.

* Elakkan berdiri atau duduk dalam jangka masa yang lama. Jika anda terpaksa duduk untuk jangka masa yang lama, jangan gunakan kusyen donut sebagai alas kerusi anda. Ia hanya akan meningkatkan tekanan pada vena di dalam anus.

* Elakkan meneran. Meneran dan menahan nafas ketika membuang air besar akan mengakibatkan tekanan yang kuat dalam vena di bahagian bawah rektum.

* Jika terasa ingin membuang air besar, lakukan dengan segera. Jika ditahan, najis anda akan menjadi kering dan lebih sukar untuk dibuang.

Penjagaan

kebersihan diri

Anda boleh mengurangkan rasa sakit, bengkak atau inflamasi buasir dengan penjagaan diri yang berikut:

* Menggunakan rawatan topikal. Menyapu krim buasir atau supositori yang mengandungi hidrokortison atau menggunakan pad yang mengandungi agen kebas.

* Memastikan kawasan anus bersih. Mandi setiap hari untuk membersihkan kawasan kulit di sekitar anus perlahan-lahan dengan air suam. Anda tidak perlu menyabun kawasan ini kerana ia akan menjadikannya lebih teruk. Keringkan kawasan tersebut dengan pengering rambut secara perlahan-lahan selepas mandi untuk mengurangkan kelembapan yang hanya akan mengakibatkan iritasi.

* Berendam secara konsisten dalam air mandian suam. Lakukan ini beberapa kali sehari.

* Menolak semula buasir yang prolaps (terkeluar dari kedudukan asal). Jika buasir mengalami prolaps, perlahan-lahan tolak buasir semula ke dalam ruang anus.

* Gunakan mandian sitz dengan air suam. Mandian sitz boleh diletakkan di atas tandas dan boleh didapati di farmasi atau stor perubatan.

* Jangan gunakan tisu tandas yang kering. Gunakan tisu basah atau tisu yang dibasahkan selepas membuang air besar.

* Ambil ubat secara oral (makan). Paracetamol, aspirin atau ibuprofen akan mengurangkan rasa ketidakselesaan.

Perlu diingat bahawa penjagaan kebersihan diri ini akan mengurangkan simptom tetapi ia tidak akan menghilangkan buasir. Rujuk kepada doktor pakar jika rasa sakit yang dialami tidak berkurangan dalam beberapa hari atau dengan segera jika anda mengalami sakit atau pendarahan yang teruk.

Bersama Dr. Pakar | Diabetes dan Mata


Bersama:DR. KOK HOWE SEN (Pakar Runding Pembedahan Mata, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) Midvalley, Kuala Lumpur)">


DIABETES kini semakin pantas menjadi ancaman kesihatan utama kepada negara dari segi bilangan pesakit dan juga kesannya kepada ekonomi kesihatan.

Kira-kira lima peratus golongan dewasa di Malaysia telah disahkan menghidap diabetes dengan anggaran bilangan sebenar kes adalah sekitar 10 peratus atau lebih.

Kebanyakan pesakit bukan sahaja gagal didiagnosis dengan diabetes malahan keadaan kesihatan mereka juga tidak dijaga dengan baik kerana kejahilan diri, tidak mahu menerima hakikat serta rasa puas hati dengan keadaan kesihatan semasa oleh pesakit dan kadangkala doktor yang merawat.

Diagnosis, pemantauan dan kawalan

Dalam kebanyakan kes diabetes, kalori dalam badan sering kali gagal dikawal dengan baik.

Ketidakseimbangan ini menyebabkan kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada biasa yang seterusnya akan merosakkan dinding saluran darah pesakit jika tidak dikawal.

Kerosakan yang berlaku kepada salur darah mungkin akan membawa kepada kebocoran salur darah atau berkemungkinan menyebabkan salur darah tersumbat.

Memandangkan salur darah terdapat di seluruh bahagian badan, kesemua organ dan struktur badan berkemungkinan menerima kesan daripada masalah ini.

Antara yang paling mudah rosak akibat kerosakan salur darah adalah mata, yang akan mengancam penglihatan pesakit di samping buah pinggang, yang boleh membawa kepada penggantungan kepada dialisis untuk seumur hidup.

Diagnosis untuk diabetes hanya memerlukan ujian darah ringkas dan tidak menyakitkan yang boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan atau klinik setempat.

Diagnosis awal membolehkan pesakit menerima rawatan segera yang selalunya lebih ringkas dan penting dalam mengelakkan atau memulihkan komplikasi yang timbul akibat diabetes.

Pemantauan penyakit ini pula hanya memerlukan alat mengukur gula darah (glukometer) yang murah dan mudah digunakan pesakit di rumah.

Jika usaha mengawal penyakit ini lambat dijalankan, terutamanya jika gejala tertentu mula timbul, komplikasi yang berlaku ketika ini mungkin tidak dapat dipulihkan lagi dan sering kali hanya dapat dikawal supaya tidak menjadi semakin teruk.

Penyakit mata diabetes

Salur darah di dalam mata adalah amat kecil dan menjadi antara yang pertama rosak di peringkat awal penyakit diabetes.

Perubahan pada mata akibat diabetes mungkin berlaku sebelum pesakit didiagnosis menghidap diabetes lagi dan perubahan ini amat mudah dikesan kini dengan adanya peralatan moden.

Oleh itu, pemeriksaan mata secara berkala dapat membantu dalam mendiagnosis diabetes dan juga memantau perkembangan penyakit berkenaan.

Mata pesakit diabetes yang semakin teruk selalunya menunjukkan pengawalan yang kurang berkesan, sejajar dengan kerosakan kepada organ lain seperti buah pinggang.

Perubahan pada mata di peringkat awal diabetes akan menyebabkan kebocoran kecil cecair atau darah daripada lubang-lubang kecil pada salur darah.

Bagi kes diabetes yang lebih teruk, salur-salur darah ini bukan sahaja akan bocor dengan lebih teruk malahan lambat-laun mungkin akan tersumbat.

Apabila semakin banyak salur-salur darah tersumbat, aliran darah mungkin menjadi tidak normal sehingga berlakunya pendarahan dengan banyak.

Tambahan lagi, pendarahan ini mungkin diikuti dengan kesan parut yang akan menyebabkan kemusnahan kawasan dalam mata yang sensitif cahaya (retina) dan akhirnya membawa kepada pesakit menjadi buta selamanya.

Pentingnya pemeriksaan berterusan

Mungkin telah berlaku perubahan besar pada mata akibat diabetes di kalangan pesakit yang tidak menunjukkan sebarang gejala diabetes.

Rawatan pada peringkat ini adalah yang paling berkesan kerana peluang kejayaannya lebih tinggi, serta rawatan yang lebih murah dan tidak menyakitkan.

Rawatan selepas pesakit menunjukkan gejala diabetes selalunya mempunyai peluang lebih rendah untuk berjaya dan kosnya juga lebih mahal.

Faktor masa ini ditekankan supaya pesakit tidak terlepas peluang merawat komplikasi diabetes ketika keadaan masih boleh dikawal dan peluang pulih adalah lebih tinggi.

Lebih lama pesakit tidak mengendahkan gejala-gejala yang timbul atau lambat mendapatkan rawatan, lebih rendah kebarangkalian untuk memulihkan kembali penglihatannya.

Rawatan mata

Di peringkat awal masalah mata akibat diabetes, rawatan hanya memerlukan pancaran cahaya ke dalam mata, sama seperti seseorang menyuluh menggunakan lampu suluh.

Prosedur ini bukan pembedahan, hanya mengambil masa beberapa minit untuk dilakukan dan pesakit boleh menyambung aktiviti harian secara normal sebaik sahaja selesai menjalani rawatan.

Kaedah ini kebanyakannya berjaya dan tidak menyakitkan dalam usaha mengelakkan pesakit kehilangan penglihatan.

Bagaimanapun, apabila kerosakan telah berlaku dan menyebabkan pesakit kehilangan penglihatan, rawatan akan menjadi semakin sukar.

Dalam keadaan ini, rawatan menggunakan laser terkini sering digunakan bagi menghalang keadaan pesakit menjadi lebih serius tetapi peringkat hilang penglihatan selalunya tidak dapat dipulihkan lagi.

Pesakit juga boleh mencuba pembedahan bagi kes peringkat serius tetapi ini akan menelan kos yang tinggi dan hanya boleh dijalankan pakar bedah vitreo-retina terlatih dan pernah menjalani latihan subkepakaran dalam bidang berkenaan.

Rawatan terkini untuk kes yang teruk, dan tidak dapat dirawat dengan kaedah lain, adalah dengan menggunakan suntikan ubat biologikal ke dalam mata.

Dikenali sebagai ubat ‘pintar’, ubat anti-VEGF seperti Lucentis menunjukkan hasil memberangsangkan dalam ujian peringkat awal kini tetapi kos penggunaannya amat mahal.

Pencegahan

Dapatkan nasihat doktor bertauliah dalam memantau dan merawat diabetes anda. Ini memerlukan doktor mengambil masa untuk menjelaskan dan berkongsi pemahaman asas penyakit ini bagi membantu pesakit menguruskan keadaan kesihatannya dengan lebih baik.

Malangnya, terlalu ramai doktor yang berkongsi pemahaman asas bersama pesakit dan tumpuan sebaliknya lebih diberikan kepada pemberian ubat yang kadangkala tidak bersesuaian.

Pesakit diabetes perlu mempelajari cara penggunaan alat glukometer dan menilai maklumat yang diterima melalui ujian ini, dalam menentukan cara mengawal dan merawat penyakit mereka.

Juga penting bagi pesakit diabetes mendapatkan nasihat pakar pemakanan untuk diet, senaman dan menurunkan berat badan bersesuaian dengan usaha mengawal penyakit mereka daripada menjadi semakin teruk.

Pemeriksaan fizikal penuh dan pemantauan berterusan, termasuk pemeriksaan mata juga amat penting selain perhatian kepada faktor risiko lain seperti tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan merokok dalam usaha mengawal penyakit berkenaan.

Diet dan suplemen

Kawalan ketat kandungan gula dalam darah di kalangan pesakit diabetes dapat mengekalkan tahap kesihatan yang baik dan mengekalkan kualiti hidup.

Ini tidak bermakna seorang pesakit di abetes dilarang sama sekali memakan makanan lazat atau mempunyai kandungan tinggi zat tertentu.

Kawalan lebih melibatkan jumlah makanan dan kadar gula dalam darah selepas pengambilan makanan berkenaan.

Di sini, peranan alat glukometer dan nasihat pakar pemakanan memainkan peranan penting dalam menentukan corak pemakanan pesakit.

Selain itu, suplemen khas seperti buah bilberi dan ginko biloba tidak dibuktikan mempunyai kesan besar kepada masalah mata pesakit diabetes.

Wang yang digunakan untuk suplemen mungkin lebih baik digunakan mendapatkan nasihat pakar pemakanan yang akan memberikan kesan yang lebih besar dalam pengawalan penyakit diabetes.